Semua insan dalam dunia ini pasti pernah merasai perasaan itu.
Perasaan yang tidak asing lagi dalam jiwa kita sebagai manusia. Perasaan
yang kadangkala hadirnya tanpa kita duga atau kita paksa.
Memang sudah menjadi fitrah kita sebagai manusia untuk merasai
perasaan itu. Cuma mungkin bagaimana perasaan itu hadir dalam diri kita
berbeza bagi setiap individu.
Dalam diam, perasaan itu hadir di hatiku
Seperti insan lain, aku jua merasai perasaan itu. Perasaan yang bukan
baru semalam berputik, tetapi telah hampir sekian lama aku pendam. Aku
sering tertanya-tanya salahkah untuk aku mempunyai perasaan yang bukan
aku reka atau cipta, perasaan yang hadirnya tak pernah aku paksa,
perasaan yang tak berubah sedikit pun walau banyak dugaan menimpa. Namun
dalam aku melangkah menyusuri perasaan itu, aku sering dilanda rasa
khuatir. Aku khuatir andainya rasa cinta ini melebihi rasa cintaku
pada-Nya. Aku khuatir andai rindu yang aku pendam melebihi rinduku
pada-Nya. Diri ku dan dia diikat dengan satu ikatan di dalam hati.
Ikatan yang tak perlu aku dan dia lafaz melalui bicara kata.
Cukuplah rasa ini aku pendam dan dia juga memendam rasa yang sama.
Jasad aku dan dia beribu batu terpisah. Hati aku dan dia juga beribu
batu menjauh. Kini, wajahnya pun mungkin telah menjadi samar-samar di
ingatanku. Suaranya seperti ku ingat-ingat lupa di telingaku. Rinduku
padanya yang tidak menentu telah menjadi rindu yang ada hala tuju.
Saat aku dan dia menjauh
Pernah satu ketika dulu, aku kecewa dengan keadaan ini. Aku rasa
seperti tidak sempurna dengan ketidakhadiran dia disisi. Namun kini, aku
mengerti mengapa dia makin menjauh dari aku. Aku hormat keputusannya
kerana aku tahu semua ini dia lakukan demi kebaikan aku dan dia.Teringat
aku bicaranya tentang kisah kami. Kami dipertemukan dalam keadaan yang
aneh sekali. Dalam keadaan saling tidak mengenali, perasaan yang tidak
disangka-sangka hadir dalam diri kami. Sehingga kini, aku masih tidak
mengerti bagaimana perasaan itu hadir dan bercambah sehingga ke saat
ini.
Oleh itu, aku megerti mungkin pertemuan yang aneh ini harus jua
dilalui dengan jalan yang aneh. Biarlah 'JARAK' ini menjadi penjaga bagi
aku dan dia. Biarlah ingatanku tentang dia yang makin samar-samar di
dalam hatiku menjadi penguat hubungan aku dengan ya-Rabb. Aku yakin
dengan rencana yang telah tertulis untukku. Aku yakin jika tertulis
jodoh antara kami, sejauh mana aku dan dia berlari menjauh, kami akan
dipertemukan jua di garisan takdir antara kami nanti.
Jarak ini menjaga aku dan dia
Kini aku semakin mengerti, 'JARAK' ini bukan untuk menghukumku.
Tetapi 'JARAK' ini untuk menjaga aku dan dia. Dengan 'JARAK' ini aku dan
dia berjanji untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dengan JARAK ini
aku dan dia berjanji untuk memperbaiki cinta kepada Illahi.Dengan jarak
ini aku dan dia berjanji untuk mencintai Pencipta kami lebih dari
segalanya. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk mendalami Islam
hingga ke akar umbi. Dan Dengan JARAK ini jua aku dan dia yakin andai
tiba saatnya nanti, aku dan dia akan lebih bersedia untuk melayari semua
ini dengan jalan yang diredhai.
Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang kepadaku melalui
jalan-Mu ini. Terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada aku dan
dia.
credit to iluvislam