Wednesday, July 18, 2012

Suara Hati

Kesian. Untuk aku yang tidak mampu berbuat apa-apa. Apabila kemungkaran itu hanya di depan mata. Kesian. Untuk aku yang tidak mampu untuk bersuara. Apabila kemungkaran berlaku saat itu di hadapan sahaja. 
Kesian. Untuk aku yang tidak mampu untuk menegur apatah lagi melarang mereka.
Sedih. Sangat-sangat sedih apabila kemungkaran berlaku betul-betul depan mata. Bukan rela. Bukan membiarkan. Bukan. Tetapi-, Ah Abaikan. Jasad berlagak seperti patung batu kapur luarannya. Tidak bergerak. Tidak berkata-kata. Hanya melihat semua yang berlaku di sekeliling dengan hati yang berdegup seperti mahu pecah. Dan, diam. Ya hanya diam.
Sungguhlah selemah-lemah iman itu apabila hanya menegur dengan hati. Dan sungguhlah imanku masih lagi lemah, selembut besi yang dilenturi. Sungguhlah masih banyak yang perlu aku sendiri pelajari. Dan sungguhlah ilmu itu tidak akan habis dipelajari, walaupun sampai mati. Sungguh ilmu Allah itu sendiri semakin banyak yang kita pelajari, semakin banyak yang tidak kita ketahui.
Mata dipejam. Kejap. Kaki masih menjalani langkah yang semakin lama, semakin ditambah kelajuannya. Aku tahu hidupku dahulu bagaimana. Aku tahu mereka juga sama. Aku tahu perasaannya. Aku juga perlukan bimbingan. Mereka juga sangat perlu akan bimbingan. Yang kamu mempunyai ilmu seharusnya membantu. Kami yang lemah ini supaya sekurang-kurangnya tahu walau sedikit tentang agamamu.
Andai sahaja kamu tahu, kami yang dihina ini sebenarnya mencari. Walau hanya sedikit cahaya Tuhan yang menjadikan kami. Andai sahaja kamu tahu, kami yang dikeji kerana dosa ini sebenarnya mencari. Sinar hidayah untuk merubah diri. Andai sahaja kamu tahu, kami yang dipandang serong kerana kekurangan pengetahuan agama ini. Sebenarnya mahu mempelajari ilmu itu sendiri sepenuh hati. Andai sahaja kamu tahu. Kami yang mungkin tidak ada harapan untuk menjadi semulia kamu di mata Tuhan ini, ada cita-cita untuk syurga yang abadi. Cumanya, kami tidak tahu di mana mahu mula. Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuknya.
"Allahu rabbi, tetapkanlah kami di jalan-Mu ini. Tetapkanlah hati kami supaya istiqamah untuk cinta-Mu yang suci. Sesungguhnya kami yang lemah lagi hina ini, mempunyai hati yang tidak teguh dan boleh runtuh hanya untuk urusan duniawi dan bukan ukhrawi. Bantulah kami, bantulah hamba-Mu ini. Untuk sentiasa kuat mengharungi setiap apa yang terjadi. Untuk Jannah-Mu nanti."
Percampuran dua rasa hati yang menghadapi dilema dalam diri. Masih terus menghantui. Walau hidup ini masih berjalan dan masa seperti tidak ada kasihan. Untuk perubahan, pegang hati tanya iman. Masih adakah dia untuk meneruskan sisa kehidupan yang semakin berkurangan?
Allah does not judge you on how bad you have been in the past, 
but rather on how good you strive to be now. -Yasir Qadhi

2 comments: